PBDSB tawar Dayak sebagai Ketua Menteri

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, Dec 16: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) akan menawarkan Dayak sebagai Ketua Menteri Sarawak secara giliran bagi memperjuangkan hak Dayak.

Naib presiden Rapelson Richard Hamit berkata parti berkenaan akan memperjuangkan pemilikan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan kesamarataan dalam pekerjaan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), peluang pendidikan, peluang ekonomi dan isu kemudahan asas dan infrastruktur.

Oleh itu, beliau menyeru agar pengundi Dayak untuk menyokong dan mengundi kesemua 11 calon PBDSB di kawasan yang ditandingi oleh parti berkenaan.


“PBDSB tidak akan sertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya menang nanti.

“Selain itu, PBDSB juga berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana parti namun akan bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain demi kesejahteraan Sarawak khususnya masyarakat Dayak sehingga hak itu dikembalikan dan diiktiraf di peringkat Negeri Sarawak dan di peringkat Persekutuan Malaysia termasuk dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rapelson turut menggesa pengundi untuk menyokong parti lain selain GPS dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) di kawasan yang tidak ditandingi PBDSB.

Katanya, ini adalah penting untuk mengurangkan dominasi parti pemerintah untuk mengelakkan mereka menang majoriti dua pertiga dan sebagai semak dan imbang (check and balance) dalam pembentukan Kerajaan Negeri akan datang.

Kesebelas kerusi dipertandingi oleh PBDSB adalah N1 Opar, N31 Bukit Begunan, N49 Ngemah, N52 Dudong, N61 Pelagus, N62 Katibas, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju, N75 Senadin dan N76 Marudi. — DayakDaily