PBDS sedia berunding isu politik Dayak dengan presiden PKR

Julius Enchana

KUCHING, 22 Dis: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bersedia berunding dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kedudukan orang Dayak dalam PKR.

Kenyataan PBDS ini susulan satu kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng yang berhasrat melepaskan jawatan beliau dan menyerahkan jawatan tersebut kepada orang Dayak memandangkan parti itu dipelopori oleh orang Dayak Sarawak.

“Secara peribadi saya menyokong kenyataan President PBDS Bobby William bahawa Dayak harus kembali ke PBDS dan memperkasakan parti ini dan saya rasa kita telah cukup bersedia untuk berunding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan kedudukan politik orang Dayak di Sarawak dan juga Malaysia,” kata Setiausaha Agung PBDS Julius Enchana dalam kenyataan itu hari ini.


Kata Julius lagi, PKR telah mencuba bertahun-tahun untuk memecah kebuntuan politik di Sarawak dan ia pernah bersama Sarawak National Party (SNAP), Democratic Action Party (DAP), Amanah dan parti-parti yang lain.

“Namun impaknya belum mencapai suatu tahap yang optimum. Oleh yang demikian, mungkin perspektif memperjuangkan Dayak diutamakan dalam PKR adalah kurang relevan, maka, Datuk Seri Anwar mungkin juga boleh melihat dari sudut yang berlainan.

“Harus juga beliau sedari bahawa di Sarawak ada Parti Bangsa Dayak, iaitu PBDS. Berkemungkinan, secara bersemuka di antara dua buah parti boleh membincangkan banyak kepincangan politik dan pekara lain seperti persamaan dan perbezaan yang gagal dicapai Dayak dalam PKR,” tambah Julius. — DayakDaily