PBDS Baru: Sidang meja bulat antara pemimpin Dayak harus diadakan

Gambar pertemuan majlis tertinggi PBDS Baru di ketuai oleh Bobby (duduk lima kanan) bersama pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) negeri Georgina Apphia Ngau di ibu pejabat ROS Kuching.

MIRI, Julai 20: Pemimpin-pemimpin Dayak harus duduk bersemuka untuk mengenal pasti keperluan dan masalah yang dihadapi penduduk Dayak di Sarawak dan negara ini, secara amnya.

Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Bobby William mencadangkan agar semua pemimpin Dayak dari pelbagai latar belakang politik dan persatuan melakukan pertemuan bersama dan dilakukan secara tertutup.

“Pertemuan ini sangat penting dan kritikal jika kita mahu Dayak terus kekal relevan. Kita juga sedar bahawa sikap ‘self-centric’ (menjaga kepentingan sendiri) di kalangan sesetengah pemimpin Dayak juga perlu diubah segera,” kata Bobby dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau juga berpendapat sesetengah masyarakat Dayak senang dipecahkan mengikut fahaman politik dan ada individu-individu yang sanggup menggadai maruah bangsa bagi mencapai kepentingan peribadi.

“Pertemuan yang akan dianjurkan ini akan juga mengambil kira analisis Prof Madya Dr Madeline Berma, yang menyatakan bahawa politik pembangunan yang ‘kotor’ telah menyebabkan kemiskinan yang ketara di tujuh kawasan di Sarawak.

“Antara ketujuh-tujuh kawasan tu ialah Pakan, Lubok Antu, Song, Kanowit, Selangau, Simunjan dan Daro,” kata Bobby.

Madeline merupakan penganalisis ekonomi dan pesuruhjaya Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia).

Hasil kajian penyelidikan nasional untuk dasar pembangunan desa di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah meletakkan beberapa daerah di Malaysia dalam senarai kemiskinan.

Justeru itu, presiden PBDS Baru berpendapat bahawa seruan untuk mengumpulkan semua pemimpin Dayak adalah tindak balas dari Dayak roundtable (DRT) yang diadakan pada September tahun lepas.

Sejak dari DRT tersebut, hasilnya masih menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian yang konkrit, katanya.

PBDS Baru dijangka akan menghantar surat jemputan kepada semua pemimpin parti politik dan NGO Dayak untuk menjayakan pertemuan tertutup ini.

Tarikh dan tempat untuk pertemuan ini akan dimaklumkan tidak lama lagi. — DayakDaily