Kpg Tambirat kawasan tarikan ekonomi baharu di Asajaya 

Karim (empat kanan) bersama tetamu-tetamu kehormat yang lain menyaksikan perlumbaan perahu di Regata Samarahan.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 20 Julai: Tapak Regata Samarahan di Kampung Tambirat, Asajaya, akan diindahkan dengan ‘waterfront’ dan pembinaan gerai-gerai jualan tetap.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perancangan tersebut akan menjadikan Kampung Tambirat sebagai kawasan tarikan baharu di Kota Samarahan.


“Sungai ini amat bermakna untuk penduduk Asajaya khasnya penduduk Kampung Tambirat.

“Di sini paling sesuai diadakan acara regata kerana ianya cukup panjang dan melihat kepada masalah hakisan yang berlaku, saya dan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang telah berjumpa dengan ketua menteri.

“Pada pertemuan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan pembinaan halangan untuk mencegah hakisan dan pembinaan waterfront dengan peruntukan berjumlah RM19 juta,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian di perasmian Regata Samarahan 2019 di Kampung Tambirat, Asajaya, hari ini.

Sebahagian daripada perlumbaan di Regata Samarahan 2019.

Selain itu tambah beliau, kerajaan juga akan membina gerai-gerai jualan tetap dengan peruntukan RM7 juta dari Abang Johari khas untuk peniaga-peniaga di Asajaya.

Katanya, kerajaan ingin membangunkan kawasan Kampung Tambirat agar dapat menjadi kawasan tarikan baharu dengan aktiviti ekonomi selain daripada regata.

“Ini adalah kerana kita sudah sangat dekat dengan Bandaraya Kuching dengan terbinanya Jambatan Samarahan.

“Selain itu, Jambatan Batang Sadong juga memberi kemudahan untuk penduduk Simunjan, Sebangan, Sebuyau dan kawasan lain untuk ke Asajaya,” ujar ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya tersebut.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan gerai tersebut akan bermula pada penghujung tahun ini dan akan menjadi pusat sehenti untuk para nelayan dan petani memasarkan produk-produk mereka. — DayakDaily.