Patung mainan berpakaian etnik Dayak menjadi rezeki

Koleksi patung mainan berpakaian etnik Dayak yang dijual Charles.

KUCHING, 19 Jun: Bosan di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang lepas mencetuskan ilham kepada seorang pengusaha katering anak Sarawak menghilangkan kebosanannya dengan menghasilkan patung mainan berpakaian etnik Dayak.

Pengusaha katering terbabit Charles@Charlie Melanyie, 32, yang menetap di Taman Megah Ria, Masai, Johor  kemudian mempamerkan patung terbabit di media sosial dan serta-merta ramai pihak berminat menempah kerja tangannya itu.

“Terjadilah rezeki PKP kepada saya, patung mainan berpakaian etnik Dayak terbabit mendapat sambutan hangat diluar jangkaan, kini dalam sehari sekitar 20 patung itu dapat dijual saya,” katanya kepada Dayak Daily hari ini.


Charles yang berasal dari Rumah Edwin, Gelanggang Serian Ulu, Betong berkata ketika ini  patung itu banyak ditempah sekitar Johor dan juga Sarawak dengan harganya dari RM25 sehingga RM100 bergantung kepada kualiti patung dikehendaki pelanggan.

“Purata saya mampu menghasilkan pakaian bagi satu patung mainan terbabit dalam tempoh 35 minit mengunakan gam kain,” katanya.

Sehubungan itu beliau bercadang menambahkan koleksi pakaian patung mainan terbabit sehingga ada semua suku kaum di Sarawak selain mendapatkan hakcipta bagi koleksinya itu selepas ini.

Charles mengakui walaupun tiada latar belakang bidang kesenian, beliau amat meminati pembuatan pakaian etnik Dayak selepas menyertai pertandingan pekit Keling Iban di Betong pada 2010. -DayakDaily