PATI bersama senapang angin dan parang ditangkap di Lundu

PATI terbabit ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 11 April: Seramai lapan warga Indonesia ditangkap bersama dua laras senapang angin serta parang kawasan Kandaie, Lundu hari ini.

Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataannya medianya berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan menaiki sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) serta dua motosikal pada jam 7 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang berusia lingkungan 17 hingga 43 gagal mengemukakan dokumen lintas batas yang sah dan pasport yang telah tamat tempoh.


“Hasil pemeriksaan juga menemui dua laras senapang angin, dua parang, tabung untuk memproses dadah jenis syabu, telefon bimbit serta wang tunai.

“Kesemua barangan tersebut termasuk kenderaan MPV serta dua buah motosikal yang dianggarkan bernilai RM50,000 dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, kesemua PATI terbabit kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

“Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku,” katanya. ― DayakDaily