Pasukan bertindak di kawasan tarikan pelancong — Abdul Karim

Abdul Karim bercakap kepada pemberita.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Julai: Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, merancang menubuhkan pasukan bertindak segera di kawasan tarikan pelancong di negeri ini.

Katanya, pasukan ini boleh melakukan kerja-kerja menyelamat dengan kadar segera jika berlaku bencana mahupun kemalangan.


“Adalah elok kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana. Kita tubuhkan pasukan bertindak segera dan ditempatkan di kawasan-kawasan tarikan pelancong yang berisiko kepada kemalangan,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri sidang media Acara Lasak Spartan Sarawak 2019 di sini, hari ini.

Mengulas isu yang sama, Abdul Karim berkata walaupun para pelancong telah diberi penerangan berhubung langkah-langkah keselamatan, kemungkinan kemalangan berlaku tetap ada.

“Jika berlaku bencana, pasukan bertindak segera ini boleh mengeluarkan mangsa dari kawasan kemalangan dengan segera.

“Jangan sampai 12 atau 24 jam barulah pasukan penyelamat sampai,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai kemalangan di Gua Rusa di Taman Negara Mulu yang meragut nyawa seorang pelancong warganegara Belanda, Peter Hans Hovenkamp, 66, dan seorang pemandu pelancong tempatan Roviezal Robin, 20, tiga hari lepas.

Walaupun belum menerima laporan lengkap berhubung insiden tersebut, Abdul Karim percaya kemalangan berlaku akibat empangan (kecil) di kawasan tersebut telah pecah.

“Air dari empangan kecil itu mengalir keluar dengan deras dan mengakibatkan banjir kilat,” katanya.

Menurut Abdul Karim lagi, kerajaan akan menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga mendiang Roviezal.

Bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga mangsa yang selama ini bergantung kepada mendiang.

Mayat Roviezal ditemui pasukan penyelamat semalam setelah dua hari kemalangan berlaku. — DayakDaily