Larian lasak Spartan Sarawak 2019 di Kuching, 19-20 Oktober

Abdul Karim (duduk dua kanan) mempamerkan sebahagian gambar acara lasak spartan yang diadakan di luar negara. Beliau diapit Lee (kanan) dan Snowdan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Julai: Sarawak akan menganjurkan acara Larian lasak, “Spartan Sarawak 2019″ di Padawan, pada 19-20 Oktober.

Larian lasak antarabangsa itu akan bermula di Institut Kepimpinan Penjawat Awam Sarawak di sini.

Acara menyediakan beberapa kategori termasuk kategori Sprint (5km), Beast (21km), Ultra (42km) dan Hurricane Heat (12 jam).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin acara yang julung kali diadakan ini membantu mempromosikan industri pelancongan di negeri ini.

“Acara larian lasak Spartan ini adalah trend global baru ke arah gaya hidup sihat dan telah menarik minat ramai.

“Sarawak bakal menawarkan pengalaman spartan yang unik dan pastinya akan menyumbang kepada sektor pelancongan sukan di negeri ini,” katanya di sidang media di sini, hari ini.

Di samping itu, Abdul Karim kata acara Spartan Sarawak juga melibatkan laluan di sekitar Taman Alam Semulajadi Semenggoh, Pusat Biodiversiti Semenggoh dan kawasan di sekitar Rajah Charles Brooke Memorial Hospital (RCBMS)

Tambahnya, penganjur mensasarkan 3,000 peserta dan sehingga hari ini peserta dari negara Singapura, Jepun, Australia, Andorra dan Malta telah mengesahkan penyertaan.

“Setakat hari ini, penganjur telah menerima lebih 1,500 penyertaan dan saya yakin kita akan mencapai sasaran, mungkin lebih,” katanya.

Acara Larian Spartan Sarawak menawarkan bayaran penyertaan yang berpatutan dan peserta boleh mendaftar secara online di laman www.spartanrace.my.

Larian lasak spartan yang pertama kali diadakan di Borneo ini dianjurkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan melalui Kuching Fitness Association dengan kerjasama Spartan Race Malaysia.

Turut hadir di sidang media adalah Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, dan Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. — DayakDaily