Pasangan suami isteri berdepan hukuman mati sebab miliki dadah

Abang Ahmad (tengah) dan pegawai polis lain menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media di IPD Kuching.

KUCHING, Jan 12: Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia bakal berdepan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan memiliki dadah bernilai RM194,976 yang dirampas menerusi satu serbuan polis di sebuah apartmen di Muara Tabuan di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 40-an itu dicekup oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, hasil pemeriksaan polis berjaya menemui satu plastik hitam yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.10 gram.


Katanya, polis turut memeriksa beg galas milik suspek lelaki sebelum menemui 100 biji pil erimin 5 dengan berat kasar 27.66 gram.

“Suspek kemudian mengaku menyimpan dadah di sebuah bilik tidur di kediamannya dan hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 163 paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 611.79 gram.

“Polis turut menemui 140 biji pil ekstasi seberat 50.18 gram serta 690 biji pil erimin 5 yang disimpan di dalam satu beg kertas di situ,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuching di sini hari ini.

Abang Ahmad menambah, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek merupakan pasangan suami isteri dan mereka mengaku bekalan dadah itu adalah untuk pasaran tempatan.

Katanya, keputusan ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methaphetamine, manakala suspek wanita pula bebas dadah.

“Siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. — DayakDaily