365 murid di enam sekolah di Sarawak terjejas akibat banjir

Keadaan banjir di SK Sungai Kelabit di Bakong, Miri

KUCHING, Jan 12: Hujan lebat yang berterusan semalam telah mengakibatkan seramai 365 murid di enam buah sekolah di negeri ini terjejas akibat banjir, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, laporan berhubung kejadian di kawasan sekolah rendah di Miri, Mukah, Baram dan Selangau itu dinaiki air banjir diterima kira-kira pukul 8 pagi.

Katanya, maklumat yang diterima dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melaporkan enam sekolah yang terjejas akibat banjir ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelabit di Miri; SK Kuala Bok, Baram; SK Sungai Bong, Baram; SK Sungai Anak, Selangau; SK Iban Union, Selangau; dan SK Kuala Kenyana di Mukah.


Keadaan banjir di SK Sungai Bong, Baram.

“Meskipun keenam-enam kawasan sekolah tersebut dinaiki air, sesi pembelajaran dan pengajaran tetap diteruskan kerana keadaan masih terkawal.

“Arahan penutupan sekolah juga tidak dikeluarkan lagi,” kata jurucakap JPBNS ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah jurucakap sama, selain 365 murid, seramai 68 guru dan 38 staf sokongan turut terjejas akibat banjir tersebut.

“JPBNS akan terus memantau situasi banjir di sekolah-sekolah terbabit dari semasa ke semasa,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca hujan lebat dijangka berlaku di bahagian Mukah, Sibu, Sarikei, Betong, Sri Aman, Kota Samarahan, Serian dan Kuching sehingga esok (Jan 13). — DayakDaily