PAS Sarawak kecewa KPM tamatkan perkhidmatan Internet TM Unifi di lebih 1,000 sekolah

Jofri Jaraiee

MIRI, Julai 16: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Sarawak melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menamatkan perkhidmatan Internet TM Unifi di lebih 1,000 sekolah di negeri ini baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, dalam zaman dunia tanpa sempadan ini, warga pendidik dan pelajar amat memerlukan perkhidmatan Internet berkelajuan lebih 100Mbps.

Menurutnya, tindakan menggantikan perkhidmatan internet TM Unifi dengan menggunakan perkhidmatan jalur lebar Zoom YES dengan kelajuan antara 1Mbps hingga 4Mbps sebenarnya tidak munasabah.


“Dengan hanya kelajuan 1Mbps hingga 4Mbps itu, ia pasti menyukarkan warga pendidik dan pelajar untuk mendapatkan maklumat dengan pantas.

“Malah, baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah menyatakan untuk meningkatkan sistem jalur lebar dengan kelajuan dua kali pantas pada harga yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Jofri menambah, perkhidmatan Unifi dan jalur lebar di kawasan luar bandar juga perlu ditingkatkan mutunya dengan kelajuan dua kali lebih pantas pada harga berpatutan di semua sekolah.

Jelasnya, pihak berkaitan harus melipatgandakan usaha bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) di negeri ini.

“Langkah itu penting bagi memastikan keseimbangan capaian perkhidmatan ICT di kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

“Kita menyedari bahawa dengan globalisasi dan kepesatan ICT kita perlu meningkatkan lagi kualiti modal insan.

“Jadi bagi melahirkan komuniti yang celik ICT, kerajaan mesti komited untuk memacu pembangunan infrastruktur dan kemudahan komunikasi kepada semua rakyat sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya. — DayakDaily