Pejabat Daerah Kecil Trusan terbakar 100 peratus

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di Pejabat Daerah Kecil Trusan.

LAWAS, Julai 16: Tindakan pantas dua kakitangan yang sedang bertugas di Pejabat Daerah Kecil Trusan di sini keluar dari bangunan berjaya menyelamatkan diri mereka daripada ditimpa perkara tidak diingini.

Ini susulan satu kejadian kebakaran melibatkan bangunan dua tingkat milik kerajaan negeri ini kira-kira pukul 11.30 pagi, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Limbang, Edmund Dmahai Amboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 11.31 pagi.


Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di Pejabat Daerah Kecil Trusan.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam kemudian ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar bangunan pejabat di situ.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba pada jarak kira-kira 100 meter,” katanya hari ini.

Edmund menambah, kebakaran itu dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian dan tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Pihal bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian ini,” katanya lagi. ā€” DayakDaily