Parlimen Puncak Borneo milik GPS, tiada kompromi

Dr Jerip ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kampung Petag di Padawan.

Oleh Chris Bishop

PADAWAN, 8 Feb: Kerusi Parlimen Puncak Borneo adalah milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan tiada kompromi di dalam isu tersebut, kata Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.

Oleh yang demikian kata Dr Jerip yang juga ADUN Mambong, kerusi tersebut adalah milik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).


Justeru katanya, calon dari PBB akan bertanding di kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Oleh sebab ia adalah milik PBB, maka kerusi Parlimen Puncak Borneo adalah sentiasa milik PBB.

“Ini adalah prinsipal yang kita persetujui di kalangan parti-parti di dalam GPS , tiada kompromi dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Tapak Projek RTP DUN Mambong bagi Menaiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Petag di sini, hari ini.

Di tanya sama ada penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Datuk Willie Mongin harus memohon untuk menyertai GPS, Dr Jerip enggan memberi sebarang komen.

Pada PRU14 di tahun 2018, Willie yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang kerusi Parlimen Puncak Borneo.

Beliau yang memperoleh 18,865 undi, menang dengan majoriti 4,005 undi menewaskan Jeannoth Sinel daripada BN yang mendapat 14,860 undi manakala Buln Patrick Ribos dari STAR sekadar mengutip 795 undi.

Namun pada tahun 2020, Willie telah meninggalkan PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada Pilihanraya Negeri (PRN) Disember lepas, Willie telah membantu kempen tiga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo iaitu Serembu, Mambong dan Tarat.

Willie menjelaskan sokongan beliau kepada GPS adalah kerana memastikan keadaan politik di Sarawak stabil.

Ini berikutan ketidakstabilan politik di peringkat Persekutuan sehingga menyebabkan kerajaan bertukar serta berlaku pertukaran perdana menteri beberapa kali.

Sementara itu, beliau berharap GPS akan memberi kerjasama serupa apabila beliau bertanding mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum (PRU) seterusnya. — DayakDaily