Suspek curi kenderaan di Senadin dicekup kurang 12 jam selepas pihak polis dimaklumkan kejadian

Dua suspek curi kenderaan ditahan pihak polis kurang 12 jam selepas kejadian.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Feb: Tidak sampai 12 jam selepas sebuah kereta jenis Perodua Axia dilarikan dari sebuah rumah di Senadin, polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pagi tadi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Mohd Sabri Zainol, suspek ditahan di sebuah bilik sewa di Bandar Baru Permyjaya sekitar jam 3 petang Isnin.

Semasa tangkapan, pihak polis turut menemukan kereta.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi tadi, apabila pemilik kenderaan, seorang pekerja pesisir pantai berusia 49 tahun tiba di hadapan pagar depan rumahnya.

Kedua-dua suspek telah bertindak menyelinap masuk ke dalam kenderaan mangsa dan melarikan kereta terbabit.

Sebelum kejadian, mangsa telah keluar dari kenderaan untuk membuka pinta pagar depan, namun tanpa disedarinya, suspek telah menyelinap masuk ke dalam keretanya lalu pecut membawa lari kenderaan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. — DayakDaily