Pantau kebersihan persekitaran untuk membendung penularan wabak denggi – Dr Jamilah

Anak penduduk Kampung Tambirat turut serta dalam aktiviti gotong-royong.

ASAJAYA, Julai 28: Jabatan Kesihatan Sarawak menyarankan penduduk untuk sentiasa memantau dan menjaga kebersihan persekitaran, memandangkan sebanyak 293 kes demam denggi telah dilaporkan di seluruh negeri tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata kes-kes terbabit terbahagi kepada 13 episod wabak yang melibatkan sebanyak 12 lokaliti dan tujuh daerah.

“Tahun lepas, kita telah mencatatkan sebanyak 952 kes demam denggi dengan 52 episod wabak melibatkan 49 lokaliti di 22 daerah,” katanya ketika merasmikan acara Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes 1.0 Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2018 di Kampung Tambirat di sini, hari ini.

Seramai 300 orang terdiri dari penduduk kampung dan kakitangan 10 agensi kerajaan terbabit dalam gotong-royong terbabit yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.

Dr Jamilah berkata kawasan Kampung Tambirat pula pernah diistiharkan sebagai kawasan “hotspot” demam denggi pada 2015 melibatkan empat kes dengan jangka masa kawasan wabak selama 36 hari.

“Malah, pada tahun 2014, satu siri wabak juga telah diistiharkan di lokaliti ini yang melibatkan tiga kes wabak terkawal,”katanya.

Beliau menjelaskan demam denggi adalah penyakit disebabkan virus denggi dan pembawa penyakit ini adalah nyamuk Aedes yang memerlukan air bagi membiak serta hanya tujuh hari untuk melengkapkan kitaran hidupnya daripada telur menjadi seekor nyamuk dewasa.

“Memandangkan keadaan cuaca di negara kita ini mempunyai taburan hujan dan kelembapan yang tinggi ditambah persekitaran banyak bekas potensi menakung air, keadaan ini menyediakan persekitaran yang sangat sesuai untuk nyamuk Aedes membiak,” katanya.

Katanya bagi mengurangkan penularan penyakit demam denggi, strategi utama yang perlu diberi tumpuan adalah pengurangan tempat pembiakan Aedes kerana semburan kabus hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak memberi kesan kepada larve Aedes.

“Tanggapan masyarakat bahawa masalah denggi adalah masalah Jabatan Kesihatan atau pihak berkuasa tempatan sangat perlu dikikis. Kita perlu bersatu, berganding bahu dan memainkan peranan aktif dalam usaha mencegah denggi,” katanya.

Dr Jamilah sehubungan itu menyarankan setiap individu memeriksa persekitaran kediaman sendiri atau premis yang dimiliki selama 10 minit seminggu sekali dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Sementara itu, Penghulu Kampung Tambirat, Tamel Mohamad berkata ketika ini terdapat seramai 3,000 lebih penduduk kampung terbabit yang mendiami sebanyak 700 rumah dengan penyakit demam denggi kali terakhir berlaku di kampung itu sekitar tiga tahun lepas. — DayakDaily