Bau anjur Gotong Royong Mega Perangi Aedes

Henry melawat kaunter pameran di Dewan Suarah Bau.

KUCHING, 18 Jun: Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Gotong Royong Mega Perangi Aedes Kebangsaan di Dewan Suarah Bau.

Turut diadakan di lokasi yang sama ialah Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Sarawak Daerah Bau 2022.

Menurut Henry, program memberi fokus untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di kawasan berisiko.


“Ia juga sebagai langkah untuk membendung peningkatan kes dengan merancang dan melaksanakan gotong royong mega secara bersepadu.

“Program disertai pelbagai agensi kerajaan persekutuan serta negeri,” katanya yang juga ADUN Tasik Biru.

Dalam pada itu, seawal jam 8 pagi, aktiviti senamrobik turut diadakan bagi merancakkan lagi suasana program berkenaan.

Sementara itu, seramai 350 peserta telah menghadiri Ceramah Penyakit Demam Denggi yang disampaikan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Kemuncak kemeriahan program ialah gimik perasmian dengan Henry menyatuni petugas dan peserta gotong royong melibatkan 130 orang peserta dan dibahagikan kepada lapan zon.

Program dianjurkan Pejabat Kesihatan Daerah Bau, Majlis Daerah Bau dan Pejabat Daerah Bau.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Irwilla Ibrahim, Pegawai Daerah Bau Anielia Siam dan Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Eunice Mellisa Joseph. ā€” DayakDaily