Panik akaun bank dibekukan, suri rumah rugi RM100,000

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 17: Akibat panik akaun bank miliknya dibekukan selepas didakwa terlibat dengan kes jenayah, seorang suri rumah kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan modus operandi sindiket ‘Macau Scam’.

Kejadian ke atas wanita berusia 55 tahun itu dilaporkan berlaku pada 15-16 Nov lepas (semalam).


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata pada 15 Nov, mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki kononnya dari Mahkamah Miri yang mempekenalkan diri sebagai Lee Kok Tew.

Lelaki itu kemudian memberitahu mangsa ada hutang berjumlah RM96,800 di Mas Maju Trading (SSM) JM 0302170, yang beralamat di 18, Jalan Bunga Indah, poskod 31650 Ipoh, Perak, kerana ada membeli barang di syarikat tersebut.

“Mangsa seterusnya memberitahu tidak pernah membeli dan pergi ke tempat tersebut. Namun, pada hari yang sama mangsa telah dihubungi kononnya anggota polis dan memperkenalkan diri sebagai Sarjan Yap,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa kemudian mengatakan mangsa terlibat dengan aktiviti penjualan dadah berjumlah RM20,000.

Katanya, suspek juga memberitahu akan membekukan akaun Maybank mangsa dan meminta memindahkan wang ke tiga akaun bank berlainan.

“Pada 16 Nov (semalam) mangsa telah memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM100,000 ke tiga akaun bank seperti yang diarahkan suspek.

“Selepas itu, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis ITC Perak dan dimaklumkan tiada anggota polis bernama Sarjan Yap bertugas di sana.

“Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily