13 penghuni rumah sewa terjejas akibat kebakaran

Kelihatan api sedang marak membakar tingkat atas sebuah rumah sewa.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 17: Seramai 13 penghuni yang menyewa di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Assyakirin Fasa 2 di sini terjejas akibat kejadian kebakaran, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.47 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Mohamad Meramit berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.48 pagi.

Jelasnya sejurus itu, sepasukan 14 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.


Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.
Keadaan tingkat bawah yang berjaya diselamatkan daripada terbakar.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar tingkat atas rumah sewa berstruktur separuh kekal itu.

“Bahagian atas rumah sewa tersebut telah terbakar 100 peratus, manakala di bahagian bawah telah terbakar kira-kira 20 peratus,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Meramit memberitahu pasukan bomba bertindak membuat pemadaman sehingga api dapat dikawal pada pukul 8.09 pagi.

Katanya, kebakaran tersebut terkawal sepenuhnya pada pukul 8.40 pagi.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan,” ujarnya. — DayakDaily