MPKS akan bina dua pasar baru untuk menempatkan peniaga tepian jalan

Antara gerai peniaga di tepi jalan yang terdapat di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Nov 17: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) akan membina dua buah pasar untuk menempatkan peniaga-peniaga tepian jalan di sekitar bandar ini.

Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos berkata pihaknya sudah mempunyai dana bagi membina pasar-pasar terbabit, di mana salah satu daripadanya akan dibina tidak jauh dari jalan utama menuju Jambatan Batang Samarahan.

Projek ini adalah untuk menyediakan ruang berniaga, terutamanya kepada peniaga-peniaga di tepian jalan di sekitar kawasan perbandaran, katanya.

“Pasar yang satu lagi akan dibina di Tambirat, Asajaya, juga tidak jauh dari jalan utama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Peter mengulas mengenai tindakan tegas yang akan diambil pihak majlis perbandaran terhadap peniaga tepian jalan mulai Jan 1, tahun hadapan, yang telah dilaporkan dalam satu akhbar tempatan.


Difahamkan, ramai peniaga tepian jalan telah melahirkan rasa khuatir terhadap penguatkuasaan tersebut.

Peter berkata kerja pembinaan dua pasar terbabit akan dilakukan tahun hadapan.

“MPKS mengambil kira kehidupan peniaga ini. Harus diingat, perniagaan di tepian jalan boleh menyebabkan kesesakan lalulintas dan mungkin juga kemalangan, terutamanya apabila pelanggan mereka meletakkan kenderaan di tepi jalan,” katanya.

Setelah siapnya dua pasar terbabit dan satu pasar basah berhampiran pusat membeli-belah Aiman Mall tahun depan, MPKS tidak akan bertoleransi terhadap peniagaan tepian jalan.

Ini untuk menjamin keselamatan awam, serta mengawal kebersihan dan keindahan Kota Samarahan. — DayakDaily