Orang ramai disaran tidak melontar buah limau ke dalam sungai semasa Chap Goh Mei

Datuk Wee Hong Seng

KUCHING, Feb 18: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tidak mengalakkan warga bandaraya ini terutama yang masih mencari pasangan hidup melakukan amalan melontarkan buah limau ke dalam Sungai Sarawak atau sungai lain di bandaraya ini ketika sambutan pesta Chap Goh Mei esok.

Ahli Dewan DBKU, Datuk Wee Hong Seng berkata demikian kerana bimbang amalan melontar buah terbabit sekiranya sehingga dalam kuantiti yang besar ke dalam sungai ketika pesta itu boleh menyebabkan Sungai Sarawak dan sungai lain dibandaraya ini menjadi tercemar.

“Sehubungan itu, kami (DBKU) tidak mengalakkan penduduk bandaraya ini melakukan amalan melontarkan buah oren ke sungai ketika pesta terbabit. Mereka bagaimanapun digalakkan melontarkan buah limau ke satu kolam buatan yang akan kami disediakan ketika mengunjungi ‘Festival Chap Goh Mei 2019’,” katanya selepas sidang media mengenai pesta terbabit di The Waterfront Hotel, di sini, hari ini.

Kebiasaanya ketika pesta Chap Goh Mei terdapat amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan dimana buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.

Wee berkata DBKU malahan akan menyediakan kakitangan bagi mengutip buah limau dalam kolam buatan terlibat supaya tidak terlalu penuh sepanjang ‘Festival Chap Goh Mei 2019’ yang akan diadakan DBKU di India Street Predestrian Mall, Jalan Gambier, di sini, pada Febuari 20 depan bermula jam 8 malam.

“Sekiranya melontar buah orang di kolam buatan seperti ini, bukan sahaja ianya mengelakkan dari mencemarkan sungai, malahan orang ramai boleh mengutip semula buah orang yang telah dilontar bagi dimakan dan tidak dibazirkan,” katanya.

Disamping itu, beliau juga mengalakkan pasaraya dan pusat beli belah di bandaraya ini menyediakan kolam kecil dalam premis mereka bagi membolehkan orang ramai melakukan amalan melontar buah limau ketika pesta terbabit seperti yang kerap dilakukan di bandaraya Kuala Lumpur.

“Memang penting bagi kita semua memulihara budaya dan tradisi kita, tetapi kita juga boleh melakukannya itu dengan cara berlainan,” katanya dan menambah yang penting juga adalah orang ramai memahami tentang amalan budaya dan tradisi tersebut. — DayakDaily