‘Festival Chap Goh Mei 2019’ bakal diadakan di India Street Pedestrian Mall

Wee (dua dari kanan) berucap ketika sidang media 'Festival Chap Goh Mei 2019'.

KUCHING, Feb 18: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mempelawa warga bandaraya ini mengunjungi malam ‘Festival Chap Goh Mei 2019’ yang akan diadakannya di India Street Pedestrian Mall, Jalan Gambier, di sini, Febuari 20 depan.

Ahli Dewan DBKU, Dato Wee Hong Seng berkata festival terbabit tahun ke-empat diadakan pihaknya, dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijangka menjadi tetamu kehormat menghadiri dan merasmikan festival itu yang bermula jam 8 malam.

“Kami mempelawa warga bandaraya ini mengunjungi malam festival tersebut di India Street yang diadakan sehari selepas perayaan Chap Goh Mei yang akan disambut esok. Ini kerana kami tidak mahu menganggu warga bandaraya ini menyambut perayaan itu esok dengan mengadakan makan malam besar bersama keluarga,” katanya ketika mengadakan sidang media festival terbabit di The Waterfront Hotel, di sini, hari ini.


‘Festival Chap Goh Mei 2019’ dianjurkan DBKU bersama Persekutuan Pertubuhan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dewan Umum Perdagangan dan Industri Cina Kuching, Persatuan Pedagang India Street, Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, The Waterfront Hotel, Persekutuan Kebajikan Perniagaan India Muslim, Persatuan Komuniti Kuching Old Market dan Plaza Merdeka Management Sdn Bhd.

Wee berkata istimewa pada festival itu tahun ini ialah Abang Johari akan melancarkan satu lukisan mural berjudul “The Early Merces” di India Street yang menceritakan tentang sejarah awal bandaraya ini.

“Ketika ini lebih 10 lukisan mural terbabit sudah siap dilukis sekitar kawasan DBKU dan kami juga akan mengadakan pameran gambar lukisan mural terbabit kepada orang ramai ketika festival itu nanti,” katanya dan mendedahkan lebih banyak lukisan itu akan diwujudkan DBKU di sekitar bandaraya ini.

Lukisan mural berjudul “The Early Merces” di India Street yang menceritakan tentang sejarah awal bandaraya ini yang akan dilancarkan Ketua Menteri ketika Festival Chap Goh Mei 2019.

Katanya acara lain pesta itu ialah persembahan tarian singa, tarian naga, 24 Season Drums, orkestra tradisi Cina, persembahan pelbagai budaya oleh sekolah rendah, pertunjukkan mercun, upacara membaling buah limau, persembahan kumpulan etnik dan pertunjukkan tanglung.

Pihaknya juga meminta orang ramai tidak bimbang dengan penutupan jalan raya di pusat bandaraya ini sekiranya mahu mengunjungi festival itu kerana tidak sebarang jalan ke India Street akan ditutup pada malam terbabit.

“Ini kerana India Street memang pusat beli belah bagi pejalan kaki, hanya kami akan meletakkan sementara penghalang jalan di Jalan Court House kerana lukisan mural yang akan dilancarkan Ketua Menteri terletak di sana,” katanya.

Disamping itu, beliau menjelaskan pihaknya tahun ini turut tidak bercadang mengadakan pertunjukkan bunga api ketika pesta itu tetapi hanya pembakaran mercun kerana mengambil kira keselamatan bangunan lama di sepanjang India Street. — DayakDaily