Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Makanan Dan Budaya Samarahan 2024

Peter (tiga kanan) dan Dr Florince (dua kiri) menjemput orang ramai datang memeriahkan SFCF 2022.

KOTA SAMARAHAN, 8 Mei: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menjemput orang ramai datang memeriahkan Festival Makanan Dan Budaya Samarahan (SFCF) 2024 yang bakal berlangsung dari 10 hingga 19 Mei ini.

Pengerusi MPKS Dato Peter Minos berkata, SFCF 2024 diadakan di Aiman Mall di Kota Samarahan dan mensasarkan kehadiran 200,000 orang pengunjung.

Katanya, festival selama 10 hari itu memperkenalkan produk-produk makanan tradisi dan makanan popular.


“Festival juga akan mempamerkan seni, adat, budaya serta permainan tradisi yang terdapat di Sarawak, terutamanya bahagian Samarahan ini tersendiri,” katanya pada sidang media di Kota Samarahan hari ini.

Tambah Peter, penganjuran SFCF pada tahun ini akan menyaksikan percubaan untuk melakukan rekod pameran pelbagai jenis ulam-ulaman.

Katanya, sebanyak 100 jenis ulam-ulaman bakal dipamerkan untuk dimasukan dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) pada 19 Mei 2024 jam 3.30 petang di Aiman Mall.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola SFCF 2024 Dr Florince Christy memaklumkan sebanyak 57 gerai jualan untuk makanan, minuman, kuih berasaskan gula apong dan makanan kering yang ditawarkan telah pun habis dijual.

Sepanjang berlangsungnya SFCF 2024 ini nanti, pelbagai aktiviti kebudayaan daripada pelbagai kaum akan turut ditunjukkan pada setiap malam.

“Antaranya adalah, seperti Persembahan Bermukun, Persembahan Zapin Sindang, Persembahan Okestra Cina, Persembahan Gendang 24 Season (Cina), Gendang Pampat Iban.

“Turut dipamerkan ialah Peragaan Pakaian Tradisional Kaum Bugis, Persembahan Tarian serta muzik kaum Bugis dan Persembahan Ngajat Iban dan Bidayuh,” ujar Dr Florince.

SFCF pada tahun ini akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 10 Mei.

Manakala Majlis Penangguhan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian pada 19 Mei. — DayakDaily