Ops Libas: PGA rampas rokok dan minuman keras cecah RM3 juta

Rokok dan minuman keras yang dibawa oleh tiga buah lori tersebut
Advertisement

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 7 Jan: ‘Ops Libas’ Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak hasilkan kejayaan dengan menumpaskan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai mencecah RM3 juta.

Komandernya SAC Mancha Ata berkata kejayaan tersebut adalah hasil operasi di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Kuching-Serian di sini dan Jalan Miri-Bintulu.

Advertisement

Beliau menjelaskan, kedua-dua operasi tersebut yang dilakukan semalam adalah hasil risikan dan maklumat yang diperolehi.

“Operasi pertama ialah sekitar jam 1 pagi apabila pasukan dari Unit Risik Briged Sarawak menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas tiga buah lori di sebuah bengkel di Batu 13, Jalan Kuching-Serian.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 5,000 karton rokok putih, 1,610 kotak minuman keras jenis tin dan 87 kotak minuman keras jenis botol yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam.

“Kesemua rokok dan minuman keras tersebut dirampas dan tiga buah lori turut disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.3 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya juga, lima lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan tersebut untuk membantu siasatan dan kesemua rampasan dan tangkapan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut.

Anggota operasi melakukan pemeriksaan di rumah yang dijadikan stor penyimpanan rokok belum lulus kastam di Miri

Kes kedua yang dilaporkan di Miri pula adalah hasil kejayaan Unit Risik Batalion 12 PGA Miri yang melakukan satu serbuan ke atas sebuah rumah di King’s Park Miri sekitar jam 5.45 petang.

“Dalam serbuan tersebut, pasukan operasi mendapati rumah berkenaan dijadikan stor penyimpanan rokok belum lulus Kastam.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta,” kata Mancha.

Rokok-rokok tersebut kemudian dirampas dan diserahkan kepada IPD Miri untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily

Advertisement