MIRI, Julai 25: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kuala Sibuti semalam masih belum menemui mangsa, hari ini.
Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari kedua itu mendapat petunjuk positif apabila menemui sehelai seluar yang dipercayai milik mangsa, Ebrahim Yaman, 59.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, seluar panjang dipercayai milik mangsa itu dijumpai dalam lingkungan 1 kilometer (km) dari bot mangsa ditemui sebelum ini.
Jelasnya, operasi SAR diteruskan dengan teknik pencarian menggunakan kaedah ‘water surface searching’ dan pencarian di sekitar tepi pantai yang meliputi radius pencarian seluas 2 km.
“Pada pukul 3 petang pasukan SAR telah menemui sehelai seluar yang dipercayai milik mangsa.
“Namun sehingga pukul 6.30 petang tadi mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan disambung semula esok,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, semalam mangsa dikatakan keluar rumah menjalankan aktiviti ‘merawai’ di laut, namun sehingga kini belum balik ke rumah.
Katanya, pada hari kebiasaan, mangsa akan kembali balik semula dalam pukul 1 petang, tetapi mangsa dikhuatiri hilang apabila bot mangsa ditemui dalam keadaan terdampar di Kuala Niah.
DayakDaily semalam melaporkan seorang pesara Petronas dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Kuala Sibuti di sini.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.45 petang.
Sejurus menerima maklumat mengenai insiden berkenaan, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri diarahkan ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat. ā DayakDaily