Warga emas maut akibat leher putus ditetak, sebelum kepalanya dibakar

Anggota polis melakukan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

SARATOK, Julai 26: Seorang wanita warga emas maut dalam keadaan ngeri apabila lehernya ditetak sebelum dibakar dalam satu kejadian di Rumah Panjang Lumpoh Bratong Baru, Roban di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Gelingi Ngaing, 75, disahkan meninggal dunia akibat lehernya putus ditetak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, siasatan awal mendapati seorang suspek lelaki berusia 57 tahun dikatakan tiba-tiba masuk ke rumah mangsa sebelum dia menetak leher mangsa dengan menggunakan sebilah parang.


Katanya, selepas menetak leher mangsa, lelaki yang dikatakan kurang siuman itu kemudian membawa lari bahagian kepala mangsa dengan motosikal anak simati sebelum membakar kepala dan motosikal tersebut.

“Berdasarkan kepada keterangan saksi yang merupakan menantu kepada simati, dia mendakwa suspek terus masuk ke rumah mereka dan terus melibaskan parang di bahagian leher mangsa.

“Melihat kejadian itu, saksi terus lari menyelamatkan diri melalui pintu dapur sebelum memaklumkan insiden berdarah tersebut kepada tuai rumah yang kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Leong menambah, pasukan polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian menemui simati dalam keadaan tertiarap dengan tanpa kepala di ruang tamu.

Katanya, terdapat kesan darah di lantai dan di sekitar badan mangsa.

“Terdapat juga titisan darah menuju ke dapur rumah simati hingga ke pintu belakang.

“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan dua bilah parang, sebilah kapak dan satu batu pengasah di tempat mencuci berhadapan dengan jalan masuk ke rumah panjang tersebut yang mana dipercayai digunakan oleh suspek untuk menetak mangsa,” ujar Denis.

Denis menambah, siasatan seterusnya membawa kepada penemuan serpihan tengkorak yang telah dibakar bersama sebuah motosikal di simpang masuk ke rumah panjang tersebut.

Katanya, serpihan tengkorak yang dipercayai tengkorak simati telah dijumpai lebih kurang tiga meter dari tempat senjata tersebut ditemui.

“Polis telah menangkap suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. — DayakDaily