Pementasan amal teater muzikal “Sultan Tengah” bakal diadakan Sept 21-23

Abang Abdul Wahap (duduk dua dari kanan) bersama barisan pelakon teater muzikal berjudul "Sultan Tengah" selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara pelakon teater itu dengan DBKU di lobi ibupejabat DBKU.

KUCHING, Julai 25: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mengadakan acara pementasan amal teater muzikal berjudul “Sultan Tengah” yang mengisahkan sejarah sultan yang pertama dan terakhir Sarawak di Stadium Perpaduan, Jalan Stadium, di sini, dari September 21 hingga 23 bermula jam 8 malam.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata teater muzikal terbabit yang skrip dan arahannya dari Zakaria Hassan akan menceritakan sejarah Sultan Tengah iaitu Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah yang menjadi Sultan Sarawak sekitar 200 tahun sebelum penjajah James Brooke menjadi Rajah Putih di Sarawak.

“Menurut cerita lisan, Sultah Tengah atau Pengiran Muda Tengah ingin menjadi Sultan Brunei juga. Dia menegaskan bahawa abangnya (Sultan Abdul Jalilul Akbar) lahir ketika ayahnya (Sultan Muhammad Hassan) belum dilantik menjadi putera mahkota sedangkan Sultan Tengah lahir ketika ayahnya dilantik sebagai putera mahkota,” katanya pada sidang media mengenai pementasan teater amal terbabit di lobi ibupejabat DBKU, di sini, hari ini.


Abang Abdul Wahap berkata sehubungan itu, Sultan Tengah atau Pengiran Muda Tengah berpendapat beliaulah yang lebih sesuai menjadi Sultan Brunei dan menurut salasilah Raja-Raja Brunei juga, beliau kemudian menerima perlantikan sebagai Sultan Sarawak dan membuat persiapan pergi ke Sarawak yang ketika itu dibawah pemerintahan Brunei.

“Pemergian beliau ke Sarawak ditemani lebih daripada 1,000 askar dari suku Sakai, Kedayan dan Bunut dengan mereka adalah penduduk tempatan asal kepulauan terbabit. Beberapa orang pembesar istana juga pergi bersama-samanya untuk membantu membentuk negara baharu dan kebanyakkan dari mereka adalah nenek moyang kepada masyarakat Melayu hari ini di Sarawak,”katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mempelawa seluruh warga bandaraya ini terutama peminat seni teater dan sejarah Sarawak untuk menyaksikan teater muzikal terbabit yang akan menampilkan pelakon watak utama, Fahrin Ahmad sebagai Sultan Tengah, Mahmud Ali Basah selaku Sultan Abdul Jalilul Akbar dan Bob Yusof selaku Menteri Amar Setia.

Abdul Wahap berkata pementasan teater muzikal terbabit akan mengambungkan seramai 16 orang pelakon tambahan, seramai 35 pemuzik orkestra dari DBKU dan pemuzik luar yang akan mempersembahkan sebanyak 30 lagu dan menampilkan seramai 50 orang penari dan lapan penyanyi latar.

“Kami mensasarkan seramai 12,000 orang akan menyaksikan pementasan teater muzikal selama tiga hari terbabit dengan tiketnya akan dijual pada harga RM20 seorang penonton,” katanya sambil mengakui setakat ini pihaknya masih belum mengenalpasti siapa bakal menerima sumbangan hasil jualan tiket terbabit.

Bagaimanapun tiket terbabit boleh didapati di pusat beli belah sekitar bandaraya ini dan Kota Samarahan serta orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam DBKU di talian 082-512200 atau e-mel terus ke prd@dbku.gov.my. — DayakDaily