Pesara Petronas hilang dikhuatiri lemas di Kuala Sibuti

Kad pengenalan mangsa.

MIRI, Julai 24: Seorang pesara Petronas dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Kuala Sibuti di sini lewat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang dilaporkan hilang dikenalpasti sebagai Ebrahim Yaman, 59.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.45 petang.


Jelasnya, sejurus menerima maklumat mengenai insiden berkenaan, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri diarahkan ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

Kelihatan bot mangsa di lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.07 malam kemudian bertindak membuat pemantauan di sekitar kawasan kejadian.

“Pemeriksaan mendapati hanya bot mangsa masih di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, setakat pukul 9 malam ini mangsa masih belum ditemui.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung semula esok.

“Maklumat terkini berhubung kejadian ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily