Op Benteng: Tiga warga Indonesia jadi ‘tekong darat’, seludup masuk PATI di Lundu

Gambat komposit kejayaan operasi tersebut semalam.

LUNDU, 18 Mei: Seramai 16 individu warganegara Indonesia, termasuk tiga tekong darat ditangkap ketika cuba masuk ke negeri ini secara haram, semalam.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata kesemua yang ditahan merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berusia lingkungan 17 hingga 73 tahun.

Katanya, mereka ditahan ketika cuba diseludup masuk oleh dua lelaki dan seorang wanita yang bertindak sebagai tekong, yang juga merupakan warganegara Indonesia.


Jelasnya, Mereka cuba menyeludup masuk melalui jalan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab di sini, kira-kira tujuh kilometer dari arah sempadan.

“Anggota yang sedang membuat rondaan telah mengesan dua buah kenderaan dari arah Malaysia menuju ke sempadan Indonesia yang dinaiki oleh tiga tekong terbabit melalui jalan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab.

“Pada jam 3.30 petang, kenderaan terbabit dikesan berpatah balik dari Indonesia ke Malaysia dan kemudian terus ditahan untuk diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki dan seorang wanita terbabit yang bertindak sebagai tekong cuba menyeludup masuk 13 lagi PATI dari Indonesia ke negara ini yang terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita menerusi laluan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan operasi turut merampas kedua-dua kenderaan yang digunakan, wang tunai serta 11 buah telefon bimbit yan dianggarkan keseluruhann berjumlah RM73,000.

Kesemua PATI serta barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pada jam 10.30 malam tadi, lapan lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia berusia 16 hingga 48 tahun turut ditahan ketika cuba masuk ke negeri ini menggunakan jalan tikus.

Katanya, mereka ditahan di kawasan ladang kelapa sawit Rimbunan Hijau, kira-kira 150 meter dari sempadan.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu dan kesemua PATI telah diusir di Pos Semunying pada jam 12.30 pagi,” katanya. — DayakDaily