Op Batas: PGA usir 21 Pati sejak 31 Mei hingga 5 Jun

Antara Pati yang berjaya diusir keluar.

KUCHING, 6 Jun: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya diusir balik ke negara asal selepas ditangkap cuba memasuki negara ini melalui laluan tikus sejak 30 Mei hingga 5 Jun baru-baru ini.

Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata kesemua Pati terbabit terdiri daripada 17 lelaki, empat wanita termasuk seorang kanak-kanak.

Katanya, mereka berusia dalam lingkungan 10 hingga 63 tahun dan berasal dari Indonesia.


“Sejak 30 Mei hingga 5 Jun, Op Batas Briged Sarawak PGA telah merekodkan tiga kes pengusiran Pati di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan melibatkan 21 Pati,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya, keseluruhan kejayaan Op Batas dari awal tahun hingga 5 Jun telah mencatatkan 104 kes melibatkan tangkapan 370 orang, termasuk 24 warga tempatan yang berperanan sebagai tekong darat.

“Daripada jumlah tersebut juga, 346 adalah Pati dan seramai 301 daripada telah diusir balik, manakala selebihnya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, jumlah keseluruhan rampasan untuk Op Batas adalah sekitar RM1.1 juta,” katanya.

Manakala untuk Op Khazanah pula mencatatkan nilai rampasan bernilai RM1.4 juta bagi tempoh yang sama.

Che Ghazali selain itu turut memberitahu anggotanya pada 5 Jun telah menemui selaras senapang angin di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan sekitar jam 9 pagi.

Senapang tersebut yang ditemui di kawasan semak kemudian dirampas dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut. — DayakDaily