Anggota MPV Kuching cedera dilanggar motosikal

DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 6 Jun: Seorang anggota polis dari cawangan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching cedera akibat dilanggar motosikal di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, di sini awal pagi semalam (5 Jun).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata kejadian berlaku ketika anggota terbabit sedang memeriksa sebuah kereta di tepi jalan raya tersebut sekitar jam 1.30 pagi.

Katanya, motosikal dinaiki dua lelaki itu telah melanggar mangsa dari arah belakang dan kemudian terus memecut laju, melarikan diri dari lokasi kejadian.


“Anggota polis yang cedera kemudian segera dihantar oleh rakan setugas ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan doktor menyatakan mangsa mengalami kecederaan patah tulang pergelangan tangan kiri dan kini masih dirawat di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Merbin selain itu menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuching Inspektor Mohamad Fahmi Mod Dhazir di talian 019-3209822 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempo tidak melebihi 12 bulan,” katanya. — DayakDaily