NIOSH gesa siasatan lanjut dilakukan berhubung letupan maut sebuah kilang di Johor

Institut Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH)

KUCHING, 19 Jan: Institut Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menggesa siasatan lanjut dilakukan berhubung kejadian letupan tangki di sebuah kilang di Johor yang mengorbankan seorang pekerja dan dua lagi cedera.

NIOSH menerusi kenyataan semalam berkata, punca kejadian malang pada 16 Januari itu harus dikenalpasti.

“NIOSH menyeru agar pihak majikan khususnya industri yang berisiko tinggi agar sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja.


“Tempat kerja yang melibatkan penggunaan mesin, jentera berat dan bahan mudah terbakar memerlukan pengurusan dan pengawalan yang teliti,” katanya.

Tambah Niosh, pekerjaan yang melibatkan ‘hot work’ seperti kimpalan dan pengisaran yang berhampiran dengan bahan-bahan yang mudah terbakar dan meletup boleh mengakibatkan bencana yang boleh membawa maut.

Katanya, prosedur kerja selamat, penyeliaan dan tingkah laku pekerja adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan semasa bekerja.

“Kerja-kerja kimpalan berhampiran crude glycerine adalah sangat merbahaya kerana ia bersifat mudah terbakar jika terdapat kehadiran api.

“Merujuk kepada ‘Safety Data Sheet (SDS)’, pengendalian dan penyimpanan crude glycerine perlu dilakukan pada tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik,” menurut kenyataan itu lagi.

Jelas NIOSH, suhu panas dan sejuk yang melampau perlu dielakkan dan perlu dijauhkan dari sebarang sumber api dan bahan pengoksidaan. – DayakDaily