Dua ditangkap bersama rokok seludup di Limbang

Rokok-rokok yang dirampas dalam operasi tersebut

Oleh Juetila Ozzy

LIMBANG, 19 Jan: Pasukan Gerakan Marin (PPM) Limbang berjaya menahan dua lelaki yang dikatakan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis berdekatan Kampung Ipai, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata susulan tangkapan tersebut membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok putih yang disyaki tidak berbayar cukai Kastam.

“Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam semasa anggota menjalankan tugas Op Landai COVID-19 dan terserempak dengan dua buah kenderaan mencurigakan lalu anggota bertindak menahannya.

“Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) terbabit enggan berhenti sehingga sebuah daripadanya terbabas dan anggota operasi berjaya menahan pemandu serta seorang penumpangnya.

Dua suspek ditangkap selepas kenderaan mereka terbabas ketika cuba melarikan diri

“Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut mendapati terdapat beberapa kotak rokok putih yang tidak berbayar kastam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, rokok-rokok serta MPV tersebut dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM150,000 untuk siasatan lanjut.

“Manakala dua suspek warga tempatan terbabit yang berusia 37 dan 21 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, pada malam semalam juga, PPM Limbang turut berjaya menamui sebuah kenderaan MPV yang ditinggalkan di Kampung Ipai, di sini.

“Hasil pemeriksaan ke dalam kenderaan juga mendapati terdapati beberapa rokok putih yang juga disyaki tidak berbayar cukai.

“Rokok dan MPV tersebut yang dianggarkan bernilai RM150,000 keseluruhannya kemudian dirampas dan disita untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily