Nilai ambang Levi Keuntungan Luar Biasa naik RM3,500 setan di Sarawak dan Sabah — TPM Fadillah

Harvested oil palm fruits. — file pic

KUCHING, 30 Okt: Kerajaan telah meningkatkan nilai ambang Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) daripada RM3,000 setan kepada RM3,500 setan bagi Sabah dan Sarawak berkuatkuasa 1 Januari 2022, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Pada persidangan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi berkata, kadar levi bagi Sabah dan Sarawak turut diselaraskan kepada 3 peratus seperti kadar levi bagi Semenanjung Malaysia.

Manakala bagi Semenanjung Malaysia, WPL ditingkatkan daripada RM2,500 setan kepada RM3,000 setan.


“Kenaikan nilai ambang ini memberi kelegaan kepada lebih kurang 4,300 pemilik ladang kelapa sawit.

“Mereka tidak perlu membayar WPL jika harga minyak sawit mentah (MSM) kurang daripada RM3,000 setan bagi Semenanjung serta RM3,500 setan bagi Sabah dan Sarawak,” kata Fadillah.

Dengan peningkatan itu, tambah beliau, syarikat perladangan sawit mempunyai peluang untuk menggunakan keuntungan tambahan bagi menguruskan ladang dengan lebih baik serta melabur dalam mekanisasi dan automasi.

Katanya, kenaikan tersebut adalah selaras dengan keperluan semasa memandangkan semakan terakhir bagi WPL dibuat lebih sepuluh tahun yang lalu dengan mengambil kira peningkatan kos pengeluaran.

Berkenaan cukai yang dikenakan di sektor perladangan, kerajaan telah mengambil kira purata kos pengeluaran, tambah beliau.

“Secara purata, kos pengeluaran buah tandan segar (BTS) di ladang adalah di antara RM300–RM450 setan.

“Dengan keadaan harga BTS semasa yang melebihi RM500 setan, pihak ladang masih merekodkan keuntungan,” ujar Fadillah. — DayakDaily