‘Negaraku’ harus kekal, tidak boleh ditukar sewenangnya — Abdul Karim

Abdul Karim (tiga kanan) memegang perhiasan manik sebagai simbolik merasmikan acara What About Kuching dan Persidangan Manik Antarabangsa Borneo.

KUCHING, 3 Oktober: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu lagu kebangsaan ‘Negaraku’, yang digunakan semenjak pembentukan Malaysia, dikekalkan.

Beliau berpendapat lagu kebangsaan tersebut tidak perlu ditukar dengan lagu baharu kerana lagu Negaraku telah dipersetujui semua wilayah termasuk Sarawak sebagai lagu kebangsaan bagi menubuhkan negara ini pada 1963.

Berikutan itu, Negaraku tidak boleh ditukar sewenangnya, tambah beliau.


“Kalau lagu kebangsaan itu sudah diterima (ketika pembentukan Malaysia), kita akur dan kita hormatilah lagu itu.

“Janganlah dipersendakan dengan mengatakan ianya dibuat oleh orang putih dan sebagainya sebelum Malaysia ditubuhkan,” katanya selepas merasmikan acara What About Kuching (WAK) Ke-3 dan Persidangan Manik Antarabangsa Borneo (BIBCO) Ke-6 di Old Courthouse, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan, yang telah mencadangkan lagu kebangsaan Negaraku ditukar kerana mendakwanya kurang asli dan berasal dari rentak “Le Rosalie” yang ditulis ahli muzik Perancis, Pierre-Jean de Beranger.

Selain itu, Voon juga mendakwa ada satu lagu Cina mempunyai rentak yang sama dan merasakan tidak salah untuk mempunyai lagu kebangsaan baharu dengan rentak dan lirik yang sesuai budaya tempatan.

Abdul Karim tidak bersetuju dengan cadangan terbabit dan menegaskan yang lagu kebangsaan sesuatu negara adalah jarang ditukar dan tidak boleh ditukar sewenangnya seperti menukar lagu hiburan dalam carta lagu semasa.

“Kalau dia (Voon) buat negara dia sendiri, bolehlah tukar lagu ikut Billboard punya carta ataupun carta Top 40. Siapa yang teratas carta, lagu itu kita terima (sebagai lagu kebangsaan),” katanya.

Selain itu, beliau juga meminta pihak yang merasakan Sarawak tidak mendapat hak sepatutnya dalam Malaysia atau hak itu telah terhakis, tidak menggunakan itu sebagai alasan mereka enggan menghormati lagu kebangsaan dan bendera Malaysia.

“Itu boleh ditunjukkan mereka ketika pilihan raya, bukan ditunjukkan ketika lagu kebangsaan berkumandang ataupun tidak menghormati bendera (Malaysia) yang sedang dinaikkan,” katanya.

Abdul Karim menegaskan isu hak Sarawak dalam Malaysia adalah hal politik yang tidak boleh dikaitkan lagu kebangsaan dan bendera negara ini yang perlu dihormati. — DayakDaily