‘Nasib veteran ATM akan terus dibela di bawah pimpinan Najib’

Mohd Anwar (dua dari kiri) memberi replika cek kepada salah seorang wakil persatuan veteran di Sarawak yang menerima sumbangan sempena majlis Ekspresi Prihatin Veteran ATM Negaraku di Kem Penrissen, Kuching.

KUCHING, April 14: Nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara akan terus dibela di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib Razak.

Presiden Persatuan Veteran ATM Malaysia, Senator Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata ia jelas apabila manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini telah menyatakan akan membina 1,800 buah rumah untuk veteran ATM.

“Ini menunjukkan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa melihat keperluan veteran,” katanya sempena majlis Ekspresi Prihatin Veteran ATM Negaraku di Kem Penrissen, di sini hari ini yang turut dihadiri Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.


Mohd Anwar menambah kerajaan melalui Kementerian Pertahanan selama ini juga tidak pernah mengabaikan kebajikan dan keperluan veteran ATM.

Sebaliknya, beliau berkata veteran ATM terus dijaga menerusi pelbagai langkah yang dilaksanakan untuk membela nasib mereka.

Antara, jelasnya adalah pemberian RM1,500 setahun kepada veteran ATM tidak berpencen melalui program Bakti Negara termasuk pemberian RM600 setahun kepada veteran yang tidak layak menerima BR1M.

“Oleh itu, kita harus bersatu dan berhemah untuk menunjukkan semangat kesatuan agar terus mendapat perhatian daripada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan sebanyak RM8,000 kepada Persatuan Veteran Malaysia Sarawak, Persatuan Veteran Renjer Sarawak sebanyak RM1,000 dan Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer Sarawak sebanyak RM3,000.

Majlis Ekspresi Prihatin Veteran ATM Negaraku dianjurkan di seluruh negara di mana Sarawak menjadi lokasi keenam, dan selepas ini akan ke Ipoh, Perak dengan tujuan merapatkan silaturahim di samping memperlihatkan usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan warta ATM dan veteran. — DayakDaily