Tiga perompak ‘kempunan’ joli hasil curi

Kelihatan tiga suspek yang ditahan polis bersama barangan rompakan mereka.

SIBU, April 14: Niat jahat sekumpulan tiga perompak untuk mengaut keuntungan hasil samun mereka terbantut apabila ditahan polis dalam satu serbuan di Jalan Sukun, Ulu Lanang di sini petang semalam.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun tersebut dicekup sepasukan anggota polis dari Balai Polis Lanang pada pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Sibu, Acp. Stanley Jonathan Ringgit berkata, sebelum itu, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang kerani syarikat logistik berhubung kes sebuah kilang yang dipecah masuk kumpulan penjenayah.


Katanya, berdasarkan laporan diterima, pihak syarikat itu mendakwa kehilangan satu guni kasut, satu kotak spray karat, satu kotak lampu LED serta empat unit bateri.

“Susulan laporan itu, pihak polis kemudian melakukan siasatan dan risikan sehingga berjaya memberkas ketiga-tiga suspek lelaki tersebut.

“Semasa pemeriksaan lanjut, polis menemui empat pasang kasut warna merah, dua kotak ‘heating pipe’, tiga pasang kasut jenama Wo Joang, dua unit bateri jenama Century, gelung wayar, tiga gunting pemotong besi dan 27 ‘contactless card’,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Stanley menambah, ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek-suspek tersebut akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Jika disabit kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya. — DayakDaily