Replika Gua Mulu akan dibina di Singapura

Gunung Mulu National Park. - file pic

KUCHING, April 14: Singapura bakal membina replika empat rangkaian gua di Taman Negara Gunung Mulu untuk dipamerkan sebagai tarikan pelancongan baharu mereka.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri telah bersetuju dengan perancangan itu, yang akan dilaksanakan oleh syarikat pelaburan terkemuka di Singapura iaitu Kumpulan Temasek.

“Replika gua ini tidaklah sebesar Gua Mulu, namun ia pasti akan menjadi salah satu tarikan pelancong yang menarik di sana,” katanya semasa ditemubual.


Menjelas lanjut, Abdul Karim berkata Kumpulan Temasek sudah pun datang untuk melakukan kajian serta imbasan di keempat-empat terowong Gua Mulu bagi membina replika gua yang serupa untuk dipamerkan.

“Selain reka bentuk, mereka juga cuba sebaik mungkin untuk memastikan bunyi, tumbuhan malah bau bagi replika gua tersebut adalah benar-benar sama dengan Mulu,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata kerajaan negeri kini masih dalam perbincangan bagi pengagihan hasil daripada pameran replika Gua Mulu di Singapura itu.

“Kami cuba untuk mendapat hasil dari sana, walaupun ia secara langsung akan mempromosikan Mulu dan membawa masuk pelancong ke Sarawak untuk melawat Gua Mulu yang sebenar.

“Tapi pada masa sama, kita juga mahu mendapatkan royalti daripada bayaran masuk ke replika gua tersebut kerana kerajaan negeri telah membelanjakan wang yang banyak untuk memelihara Mulu pada masa ini namun tidak mendapat hasil daripadanya.

“Oleh sebab itu dalam Singapura membuat duit daripada replika Gua Mulu, kita juga mahu mereka menyumbang ke arah memelihara serta pemuliharaannya,” katanya.

Taman Negara Gunung Mulu mempunyai rangkaian empat gua yang terpanjang di dunia iaitu Gua Rusa, Gua Angin, Gua Air Jernih dan Gua Lang, di mana terletaknya ‘Sarawak Chamber’ iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh memuatkan empat puluh buah kapal terbang Boeing 747.

Malah, ia juga mempunyai terowong gua terbesar di dunia iaitu Gua Rusa, yang boleh memuatkan lima buah gereja besar bersaiz gereja Saint Paul di London.

Satu lagi tarikan utama di sini adalah Gua Air Jernih, gua paling panjang di Asia Tenggara yang menjadi tempat tinggal berjuta-juta kelawar dan burung layang-layang. — DayakDaily