Nanta: SPPP galak peniaga ceburi perniagaan atas talian

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 4 Okt: Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) memberikan pendaftaran percuma kepada usahawan Kumpulan B40 dan Pelajar IPT sepenuh masa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi menggalakkan peniaga untuk menceburi bidang perniagaan khususnya secara atas talian.

“Sehingga 26 September 2021, sebanyak 18,476 peniaga yang telah menikmati insentif ini.


“Di samping itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan yang memberikan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan percuma kepada OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan MP Betong Datuk Robert Lawson Chuat pada sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Nanta, sehingga 26 September 2021, statistik menunjukkan hampir 13,096 perniagaan yang berjaya didaftarkan di bawah insentif tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 109,534 perniagaan dalam talian telah didaftarkan bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 31 Ogos 2021.

Katanya, ini menyumbang 42.8 peratus kepada jumlah keseluruhan perniagaan yang didaftarkan dalam tempoh tersebut.

“Manakala pada tahun 2020, sebanyak 132,012 perniagaan dalam talian telah didaftarkan.

“Pendaftaran ini meningkat 5.8 peratus daripada jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian pada tahun 2019,” katanya.

Tambah Nanta, sebanyak 1,611 syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian telah didaftarkan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2021.

Katanya, ia merupakan peningkatan 71.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Jumlah pendaftaran telah menunjukkan peningkatan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 1,726 syarikat dalam talian telah didaftarkan manakala sebanyak 1,043 syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian telah didaftarkan pada tahun 2019.

“Dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2021, sebanyak 250 perkongsian liabiliti terhad yang menjalankan perniagaan dalam talian telah didaftarkan.

“Manakala jumlah pendaftaran perkongsian liabiliti terhad yang menjalankan perniagaan dalam tahun 2020 adalah sebanyak 386 perkongsian terhad yang menyumbang 10 peratus kepada jumlah keseluruhan pendaftaran perkongsian liability terhad pada tahun 2020,’ ujar Nanta.

Menurut beliau, trend peningkatan pendaftaran entiti perniagaan yang memanfaatkan platform digital ini adalah didorong oleh keadaan sosioekonomi semasa terutamanya penularan pandemik Covid-19 yang bermula pada tahun 2020 di mana para peniaga telah beralih ke ekosistem digital.

Kementeriannya, ujar beliau, turut mengambil inisiatif untuk membangunkan perniagaan berkonsepkan digital khususnya dalam sektor peruncitan dan program Pendigitalan Sektor Runcit (Redi) yang telah dilancar pada April 2021.

“Semua peniaga disaran segera mengadaptasikan teknologi digital dalam perniagaan mereka kerana tidak dapat dinafikan, teknologi digital mampu untuk mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan capaian pasaran,” katanya. — DayakDaily