Nanta: SHMMP Hari Gawai 2022 mulai 29 Mei hingga 4 Jun

Kelihatan pegawai pemeriksaan sedang melaksanakan pemeriksaan terhadap harga barangan dalam foto fail ini.

KUCHING, 21 Mei: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2022 bermula 29 Mei sehingga 4 Jun 2022.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Lingggi berkata, sebanyak 8 jenis barangan akan dikawal bagi pelaksanaan SHMMP Hari Gawai ini.

“Skim ini dilaksanakan selama seminggu iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah beliau yang juga MP Kapit, senarai 8 jenis barangan yang dikawal ialah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), Kubis bulat import, cili kering, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Katanya, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri yang terbabit dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa hasil dari pemantauan dan kutipan Bahagian Harga Barang Negara dan Bahagian Penguat Kuasa.

“Ia juga mengambil kira faktor terkini perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” ujar Nanta.

Menurut beliau, kementerian telah menentukan harga maksimum di peringkat pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga yang diperolehi daripada punca-punca yang dikenalpasti.

“Ia meliputi pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara dari tahun 2021 dan sehingga Mei 2022.

“Serta mengambil kira pandangan agensi Kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan sesi libat urus dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, anggota Penguatkuasa KPDNHEP akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Ini bagi memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga ke atas pelaksanaan harga maksimum ini. — DayakDaily