Kanak-kanak lelaki disambar buaya di Telega Air

Anggota keluarga mangsa berusaha mencari mangsa di lokasi kejadian.

KUCHING, 21 Mei: Seorang kanak-kanak lelaki disambar buaya ketika sedang mengambil air di tebing sungai Kampung Nyabut, Telaga Air, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.30 pagi.

Katanya, mangsa semasa kejadian bersama nenek dan kakaknya.


“Mangsa bersama nenek dan kakaknya sedang duduk di tebing sungai tersebut dan dikatakan disambar buaya semasa mengambil air di sungai.

“Mangsa dimaklumkan juga tidak timbul dan terus hilang di dalam air setelah kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba dari Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). — DayakDaily