Nanta: Peruntukan tambahan RM1.9 bilion terhadap minyak masak bersubsidi

File photo depicting KPDNHEP personnel conducting a routine inspection on the prices of cooking oil at a local supermarket.

KUCHING, 15 Mac: Kerajaan telah menambah subsidi sebanyak RM1.9 bilion kepada peruntukan sedia terhadap minyak masak bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negari Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini bagi memastikan tiada gangguan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.

“Dalam masa yang sama, kajian berhubung mengoptimumkan subsidi di bawah kementerian juga telah dijalankan bertujuan memastikan subsidi bawah kawal selian KPDNHEP sampai kepada golongan sasar,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan di sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Nanta, Bahagian Penguatkuasa telah melaksanakan langkah-langkah seperti pemeriksaan premis, audit rantaian pengedaran, risikan ke atas pengilang dan pemborong.

Katanya, ini bertujuan bagi menetapkan had pembelian sebanyak tiga peket minyak masak bersubsidi kepada setiap pelanggan.

Sehingga 28 Februari jelasnya, sebanyak lebih kurang 6,500 premis telah diperiksa, 25 kertas siasatan telah dibuka dan 20 syarikat telah diambil tindakan seperti menggantung kuota skim minyak masak dan digantung lesen urusniaga.

“Berhubung dengan pengenaan had pembelian minyak masak bersubsidi, ia dilaksanakan bagi memastikan pembelian minyak masak bersubsidi terkawal.

“Hanya golongan yang layak sahaja membeli barangan tersebut.” — DayakDaily