Nanta: Perkhidmatan ‘dine-in’ dalam kenderaan langgar SOP

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 24 Mei: Perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan menyalahi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Pawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Menjawab soalan pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini, Nanta berkata, perkhidmatan tersebut memang tidak boleh dilakukan buat masa sekarang.

“Ikut SOP tidak boleh, itu idea baru, sebab mungkin mereka ataupun memikirkan dalam kereta itu adalah satu keluarga dan di rumah pun duduk bersama.


“Kemungkinan idea itu timbul, tapi buat masa sekarang memang SOP tidak menyatakan boleh.

“Jadi setakat ini, selagi tiada keputusan atau SOP yang baharu tentang ini, memang tak boleh dibuat pada masa sekarang,” ujar Nanta.

Berhubung isu yang sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail pada semalam berkata, premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ di dalam kereta adalah melanggar SOP.

Kata Adi, menghantar makanan secara hidangan kepada pelanggan untuk makan di dalam kenderaan mereka adalah tidak mematuhi SOP.

Inisiatif itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai selepas larangan untuk makan di dalam premis dikuatkuasakan.

Menjelas lanjut, beliau berkata, hanya ‘take away’ dibenarkan.

Justeru, Adi menasihati pengusaha premis makanan supaya menghentikan
layanan ‘dine-in’ di dalam kenderaan. — DayakDaily