Nanta: Penjualan arak dan rokok telah diperjelaskan, tiada isu lagi

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 8 Jun: Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyangkal dakwaan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi menjelaskan isu berkaitan penjualan arak dan rokok semasa tempoh ‘total lockdown’.

Menurut Nanta, dakwaan MP Bangi Dr Ong Kian Ming adalah tidak benar sama sekali kerana kenyataan rasmi telah dikeluarkan pada 31 Mei 2020 melalui semua saluran media.

Katanya, ia bagi menjelaskan senarai perkhidmatan perlu sektor perdagangan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021 di seluruh negara.


“Di dalam kenyataan rasmi itu, senarai perkhidmatan perlu yang diberi kebenaran operasi telah dinyatakan dengan jelas, selain SOP yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terlibat.

“Di dalam senarai yang diberikan, telah diterangkan bahawa kedai serbaneka dan kedai runcit dikategorikan sebagai ‘essential’ dan diberikan kebenaran beroperasi.

“Ini membawa maksud segala barangan yang dijual di kedai serbaneka ini boleh dijual kepada pengguna, termasuklah arak dan rokok.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa kedai atau premis yang hanya menjual produk minuman keras tidak dibenarkan beroperasi,” ujar Nanta dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, KPDNHEP juga telah mengarahkan semua premis yang hanya menjual arak sepenuhnya, ditutup sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama ini.

Jelas Nanta lagi, perkara tersebut telah juga dikongsi di laman Facebook beliau bahawa Kementerian mengambil maklum keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang telah membenarkan penjualan arak di kedai serbaneka seperti 7-Eleven sekiranya mempunyai lesen.

“Hanya kilang dan kedai menjual arak sepenuhnya yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Penjualan rokok di kedai serbaneka juga dibenarkan kerana kedai serbaneka telah disenaraikan sebagai ‘essential’,’katanya.

Berhubung isu bengkel kereta yang turut dibangkitkan, Nanta menjelaskan bahawa perkhidmatan bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti disenaraikan sebagai aktiviti yang diberi kebenaran beroperasi.

Namun katanya, kapasiti pekerja dihadkan sebanyak 60 peratus sahaja.

“Maka, tidak timbul isu Kementerian berdiam diri berkaitan pengoperasian bengkel kereta kerana perkara ini telah dimaklumkan.

“Informasi berkaitan sektor yang dibenarkan juga telah dihebahkan secara meluas melalui pelbagai platform, termasuk di laman web dan laman sosial KPDNHEP selain hebahan media,” ujar Nanta. — DayakDaily