Nanta: Penetapan harga maksimum daging lembu tidak aniaya peniaga

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 11 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan pelaksanaan harga maksimum daging lembu tempatan seperti yang diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga siling berkenaan iaitu RM34 sekilogram dibuat secara seimbang.

Katanya, ia hasil daripada kajian menyeluruh di semua peringkat, daripada pengeluar, pemborong sehingga peruncit dengan semua pihak dipastikan masih boleh mendapat keuntungan.


“Mekanisme yang digunakan adalah menerusi sesi libat urus yang berterusan di antara pemain industri, persatuan pengguna dan agensi kerajaan yang relevan.

“Ini turut melindungi kepentingan kumpulan peniaga demi memastikan elemen mengaut keuntungan berlebihan tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta memberi penjelasan susulan desakan serta dakwaan beberapa pihak yang memberi gambaran seolah-olah penetapan harga maksimum itu menganiaya peniaga sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Jelas beliau lagi, perlakuan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga, tidak sahaja berlaku dalam lingkungan antara peniaga dengan pengguna, situasi ini juga boleh berlaku dalam kalangan peniaga sesama peniaga juga.

“Peniaga daging lembu tempatan adalah juga pengguna bagi barang keperluan lain.

“Oleh kerana itu, kerajaan melaksanakan SHMMP HRP 2021 yang menetapkan harga siling di setiap peringkat perniagaan (ladang, borong dan runcit) dengan tujuan tiada manipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah berlaku di antara peniaga kepada peniaga,” ujar beliau.

Menurut Nanta lagi, penetapan harga maksimum daging lembu tempatan adalah untuk bahagian lembu biasa sahaja yang menjadi pilihan sebahagian besar pengguna.

SHMMP HRP 2021 berkuat kuasa pada 21 April sehingga 20 Mei. — DayakDaily