Nanta: Bekalan sayur dari Cameron Highlands akan berjalan seperti biasa

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 18 Jun: Kerajaan akan mengambil langkah segera untuk memastikan pengurusan tanaman ladang serta proses membawa keluar hasil pertanian daripada Cameron Highlands dapat berjalan seperti biasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya baru-baru ini telah membuat sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands, Wakil Pemborong, Majlis Keselamatan Negeri Pahang, Pejabat Daerah Cameron Highlands, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan beberapa agensi kerajaan lain.

Sesi libat urus terbabit diadakan bagi memastikan bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak terjejas meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Raja, Cameron Highlands telah dilaksanakan bagi tujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Antara langkah yang akan diambil termasuklah mengusulkan pelaksanaan suntikan vaksin Covid-19 kepada peladang dan pekerja-pekerjanya secepat mungkin.

“Sebagaimana yang telah dimaklumkan, hanya 30 hingga 40 peratus bekalan sayur Cameron Highlands datang daripada ladang-ladang di Kampung Raja. Peratusan ini tidak akan menjejaskan rantaian bekalan sayur di pasaran keseluruhannya.

“KPDNHEP juga dimaklumkan bahawa semua kawasan tanaman sayur selain Kampung Raja di Cameron Highlands beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta turut memberitahu bahawa pihak polis telah memaklumkan pergerakan lori-lori untuk membawa keluar sayur dari Cameron Highlands adalah dibenarkan.

“Pada masa yang sama, ladang sayur di kawasan Lojing dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa isu pengangkutan dan pengedaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nanta berkata pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan ke atas bekalan dan harga sayur-sayuran di pasaran.

“Penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

“Pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik kerana bekalan sayur adalah stabil dan mencukupi. Pengguna boleh membuat aduan berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang melalui pelbagai saluran aduan yang telah disediakan oleh Kementerian,” tambahnya. — DayakDaily