MIRI, Mac 11: Dua lelaki menemui ajal selepas terbabit dalam nahas melibatkan dua buah motosikal di Jalan Kuala Baram di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohammad Ali, 25, dan Mohd Rizam Maula Jahari, 23.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan masing-masing sebuah motosikal jenis Kawasaki ER650 dan motosikal Modenas Kriss.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh Gerry Laing, 19, dengan Mohd Rizam sebagai pembonceng sedang dalam perjalanan ke Kuala Baram dari arah Kampung Melayu di sini.
“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang oleh mangsa iaitu Mohammad Ali secara tiba-tiba melanggar belakang motosikal Modenas Kris.
“Gerry yang cedera pula dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Alexson memberitahu, mayat kedua-dua mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Jelasnya, siasatan di lokasi mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily