29 pemain dan pegawai Miri FA cemas, bas dinaiki terlibat dalam kemalangan

Kelihatan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan.

PAPAR, Mac 11: Seramai 29 pemain termasuk pegawai Persatuan Bola Sepak Miri (Miri FA) berdepan detik mencemaskan apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di KM40, Jalan Papar-Kimanis di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari arah Keningau ke Kota Kinabalu, Sabah.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Miri, Nazri Ahmad Lai berkata, susulan kejadian itu, semua pemain termasuk pegawai persatuan terbabit mengalami kecederaan ringan.


Kelihatan pemain dan pegawai Miri FA yang terselamat.

Katanya, beliau sendiri yang turut berada dalam bas tersebut melahirkan rasa kesyukuran kerana semua mereka terselamat.

“Buat masa ini, seramai 12 pemain kita sedang menerima rawatan di Hospital Papar.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres yang dinaiki kami tiba-tiba terbabas ketika menuruni bukit dan cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta di hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, pasukan Miri FA berada di Keningau, Sabah bagi menghadapi aksi Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018.

Pasukan itu telah beraksi di Kompleks Sukan Keningau petang semalam. —DayakDaily