Lelaki maut, motosikal hilang kawalan lalu bertembung dengan Toyota Hilux

Keadaan Toyota Hilux yang remuk akibat kemalangan itu.

MIRI, Mac 11: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di KM106 Jalan Pesisiran Pantai di sini semalam.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Empawi Gaweng, 54, dari Rumah Umpor, Lubok Numpu Ulu Niah di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Bintulu ke Miri.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux yang kebetulan bergerak di laluan sama.

“Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak di atas jalan raya dan diseret oleh kenderaan tersebut.

“Kejadian tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah, manakala pemandu Toyota Hilux itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu berusia 30 tahun tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily