MP Sibuti gesa bank tingkatkan kapasiti dan isian semula wang ATM

Penduduk masih beratur untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan di Pekan Niah pada jam 2 petang.

Dikarang oleh D’Drift Team

NIAH, 16 OKT: MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni komited untuk memastikan perkhidmatan bank cawangan dan mesin pengeluaran automatik(ATM) di Niah dan Bekenu meningkatkan kapasiti serta isian semula wang di ATM masing-masing.

Katanya, ia adalah jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu berhubung keperluan rakyat di kawasan parlimen Sibuti untuk mendaDpatkan kemudahan perbankan khususnya untuk mengeluarkan wang.

Menurut beliau, keperluan perkhidmatan perbankan di Niah dan Bekenu kini sudah berubah, ia nyata jauh berbeza daripada masa lalu.

Sibuti MP Lukanisman Awang Sauni.

“Waktu ini, usaha saya adalah untuk berbincang dengan bank-bank di bawah kerajaan contohnya Bank Simpanan Nasional(BSN), Bank Rakyat dan Agro Bank untuk meningkatkan kapasiti dan meningkatkan isian wang di dalam mesin ATM Bank di Bekenu termasuk Public Bank di Niah.

“Saya menggunakan saluran parlimen, kita kemukakan soalan contohnya pada sidang parlimen yang berlangsung pada bulan Oktober dan ini telah saya lakukan sejak 2018 lagi.

“Soalan saya nombor satu iaitu tentang permohonan pembukaan mesin ATM, saya minta bank kerajaan seperti BSN, Bank Rakyat dan Agro Bank mempertimbangkan untuk membuka cawangan,” katanya ketika dihubungi.

Pasukan D’Drift pada semalam melakukan tinjauan berhubung keberkesanan penyediaan perkhidmatan perbankan termasuk penggunaan mesin ATM di Niah dan Bekenu.

Di Pekan Niah satu-satunya cawangan bank yang beroperasi ialah Public Bank, manakala terdapat 2 mesin ATM ditempatkan di Pusat Transformasi Luar Bandar(RTC) Bekenu dan satu di stesen Shell.

Tambah Lukanisman, keperluan perbankan rakyat sering diabaikan berikutan masalah ketiadaan wang di mesin ATM dan ia bagaikan tiada penyelesaian.

“Masalah sekarang ialah mesin ATM ada, tetapi wang tiada dan pihak bank tidak melakukan isian semula setiap hari.

“Isian semula hanya dibuat setelah beberapa hari seperti seminggu sekali tetapi terdapat keperluan tinggi untuk rakyat mengeluarkan wang tunai khususnya bagi pengusaha kelapa sawit,” ujar beliau.

Justeru tambah Lukanisman, rakyat terpaksa pergi ke bandar berdekatan iaitu Miri untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan samada untuk mengeluarkan wang atau melakukan deposit.

Dalam pada itu kata beliau, perbincangan dengan beberapa bank komersial akan dilakukan dalam masa terdekat berhubung cadangan menempatkan mesin ATM tambahan di kawasan parlimen Sibuti.

Berhubung pembukaan bank komersial, Lukanisman berkata ia adalah tertakluk kepada keputusan bank terbabit dan Kementerian Kewangan tiada kuasa untuk memberi arahan.

“Sebagai contoh Public Bank yang telah membuka cawangan di Niah, keperluan untuk meningkatkan kapasiti bank tersebut bergantung kepada keputusan pemegang saham.

“Masalahnya ialah kesesakan yang berlaku adalah bermusim, ada masanya sunyi dengan tiada yang mengeluarkan wang.

“Tetapi sekarang adalah musimnya berikutan pelbagai bantuan kewangan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat,” kata Lukanisman.

Sementara itu, seorang peniaga di Pekan Niah Ting Ying Siong yang ditemui hari ini menggesa kerajaan segera menambah bank di pekan tersebut dan tidak hanya bergantung kepada satu bank sahaja.

Ting ketika ditemui di premisnya yang berhadapan dengan Public Bank Niah.

Premis(borong) Ting beroperasi sejak 30 tahun yang lalu dan terletak di hadapan Public Bank Niah telah menyaksikan kepayahan penduduk tempatan untuk mengeluarkan wang khususnya di era pandemik Covid-19.

Katanya, penduduk Niah termasuk dari Bekenu dan kawasan sekitarnya terpaksa beratur seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan.

“Dengan memiliki hanya satu cawangan bank adalah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, ia mesti ditambah dan ada masanya mesin kehabisan wang.

“Apabila mesin ATM tidak berfungsi, kadang-kadang ia tidak diperbaiki sehingga seminggu.

“Pekerja ladang warga Indonesia juga menggunakan bank ini untuk mengeluarkan wang gaji mereka pada hari gaji iaitu di antara 8 hingga 9 hari bulan setiap bulan,” ujar Ting. — DayakDaily