MP Hulu Rajang: Siasat caj perkhidmatan RM50 dimasukkan di dalam resit penjualan FFB

Datuk Wilson Ugak Kumbong wants branch office in Belaga to handle budget allocation.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Dis: MP Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong meminta kerajaan menyiasat rungutan peneroka berhubung terdapat caj
perkhidmatan sebanyak RM50 dikenakan ke dalam resit penjualan harga sawit tandan segar (FFB).

Menurut beliau, perkara tersebut berlaku di kawasan Hulu Rajang dan perlu tindakan segera oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.


“Terdapat peneroka di kawasan saya yang menyatakan mengapa terdapat caj perkhidmatan sebanyak RM50.00 dikenakan ke dalam resit penjualan FFB mereka.

“Mohon perkara ini dapat disiasat dengan segera oleh pihak kementerian,’ kata Wilson pada perbahasan Belanjawan 2021 Peringkat
Jawatankuasa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan peningkatan Insentif Pengeluaran Getah(IPG) dari RM100 juta ke RM300 juta membantu pekebun getah
selepas berhadapan masalah harga komoditi itu yang tidak stabil.

Selain daripada itu jelas beliau, inisiatif ini juga akan membantu peneroka kecil bagi meningkatkan pendapatan harian mereka.

“Pada musim pandemik Covid-19 ini, ramai peneroka kecil terbeban dengan beban kewangan kerana pendapatan harian mereka terjejas,’ ujar Wilson.

Menurut beliau lagi, peningkatan secara sederhana harga FFB di paras RM650 setan juga turut memberikan kelegaan kepada peneroka.

Katanya, harga minyak sawit mentah (MSM) dilihat pulih sejak Mei berikutan peningkatan ketara permintaan eksport pada Jun.

Sementara pada Julai juga dilihat akan mencatatkan peningkatan dengan diunjurkan meningkat antara 5.0 peratus hingga 6.0 peratus berbanding Jun.

“Pengeluaran keseluruhan tahun ini di Malaysia juga diunjurkan 19 juta tan atau jatuh 4.32 peratus berbanding 2019.

“Walaupun eksport 17 peratus lebih rendah pada separuh pertama 2020 berbanding 2019, eksport dilihat meningkat kukuh terutama dari India.

“India meningkatkan pembelian pada Jun berikutan negara itu mula melonggarkan langkah sekatan pergerakan dan meningkatkan stok simpanan sawit,”jelas Wilson.

Namun tambah beliau, kebimbangan wujud berikutan peningkatan mendadak eksport MSM yang dicetuskan pengurangan cukai eksport kepada sifar.

Menurut Wilson, ia memberi tekanan kepada stok dengan cepat dan menjadikan ketersediaan produk MSM di pasaran domestik tidak
mencukupi.

Justeru beliau menggesa agar satu kajian segera perlu dilaksanakan bagi memastikan bekalan stok di negara sentiasa mencukupi. -DayakDaily